Monday 2 April 2012

Tentang Saya

Assalamualaikum warahmatullahhirwabarakatuh, terlebih dahulu ingin saya memperkenalkan diri saya. Nama saya ialah Ahmad Bin Salleh. Saya dilahirkan di Endau, Rompin Pahang pada 10 Oktober 1972. Ketika usia saya berumur enam tahun, saya berpindah ke Felda Bukit Goh, Kuantan Pahang. Bermula dengan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Felda Bukit Goh dan seterusnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Bukit Goh sehingga ke tingkatan lima. Selepas menamatkan bangku sekolah, saya menceburi bidang pekerjaan. Bermula dengan pekerjaan sebagai pembantu operator kilang papan di Kuantan selama 6 bulan. Kemudian saya meneruskan bidang pekerjaan sebagai Pegawai Pemasaran di sebuah syarikat swasta selama 1 tahun. Dalam masa yang sama saya mengintai peluang pekerjaan yang lebih baik. Dengan berkat doa yang panjang, pada tahun 1990, saya diterima masuk bekerja sebagai Kerani Setor di sebuah kilang pembuatan perabot yang terkenal di Semambu, Kuantan. Setelah berhidmat dengan penuh berdedikasi dan melakukan tugas dengan penuh komitmen, saya dinaikkan pangkat sebagai Penyelia Setor setelah 4 tahun berhidmat. Kemudian saya meneruskan jawatan ini selama 6 tahun dan Berjaya menimba ilmu pengetahuan dalam bidang kejuruteraan Setor.

Namun begitu setelah 10 tahun berhidmat di syarikat pembuatan perabot, saya di tawarkan berhidmat di syarikat multinasional pembuatan kertas di Malaysian Newsprint Industries, Mentakab Pahang bermula pada bulan Mei 2000 sehingga kini. Bermula dengan jawatan sebagai Juruteknik Setor sehingga kini. Pada tahun 2003, saya meneruskan pelajaran di Universiti Teknologi Mara dengan mod pengajian Pendidikan Jarak Jauh dalam bidang Diploma Pentadbiran Awam. Saya menamatkan pengajian tersebut pada tahun 2006 dan graduat pada Julai 2007.

Bagi meneruskan dan meningkatkan kerjaya dalam segala bidang yang diceburi, saya berikhtizam melanjutkan pengajian secara separuh masa dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia) di SPACE UTM, Kuala Lumpur.

Saya telah mendirikan rumahtangga pada bulan Jun 1997 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Kedua-dua cahaya mata saya adalah puteri yang berumur 13 tahun dan 9 tahun. Anak yang sulung bersekolah di Sekolah Menengah Seri Semantan, Mentakab dan anak yang bongsu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Abu Bakar Mentakab, Pahang. Isteri saya pula bekerja di sektor awam. Beliau bermula khidmat pada tahun 2009. Sebelum ini beliau bekerja di pelbagai bidang di sektor swasta.


Untuk pengetahuan pembaca bahawa mata pelajaran Sistem Maklumat Sumber Manusia atau dalam bahasa Inggeris ialah Human Resources Information System (HRIS) adalah satu bentuk pembelajaran yang banyak meningkatkan pengetahuan  dalam penggunaan sistem maklumat dalam pengurusan sumber manusia. Ianya boleh diadaptasi jika kita memilih bidang kerja terutama dalam bidang sumber manusia. Ini serba sedikit tentang latarbelakang.

No comments:

Post a Comment